Pesta Flora Menarik Pelancong Dalam dan Luar

florafestflorafestPENGKALAN CHEPA, 30 Mac (Hrkh) - Pesta Flora yang diadakan setiap tahun sejak 1993 sempena hari Keputeraan Sultan Kelantan menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara datang ke Kelantan.

Tahun ini merupakan kali ke-16 pesta itu diadakan di Taman Orkid Tengku Anis di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa.

Setiap tahun dianggarkan seramai 50,000 pengunjung datang ke pesta itu bagi menyaksikan pelbagai jenis bunga dan hiasan lanskap yang menarik.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebanyak 17 acara disediakan pada pesta tahun ini merangkumi pertandingan, pameran dan pelbagai aktiviti lain.

“Ia diadakan bermula 31 Mac hingga 9 April iaitu selama 10 hari bagi memberi peluang kepada orang ramai datang menyaksikan bunga yang dipamerkan,” katanya pada sidang media di Taman Orkid Tengku Anis, di sini semalam.

Pelbagai jenis bunga dipertandingkan termasuk juga foto ragam kanak-kanak. Selain itu Klinik Flora yang dikendalikan Jabatan Pertanian Kelantan turut diadakan, ia merupakan acara baru.

Klinik flora diadakan untuk memberi penerangan kepada pengunjung berhubung teknik menjaga flora atau bunga-bungaan.

Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid akan merasmikan pesta tahunan tersebut esok, jam 10 pagi.

Sempena perasmian pesta ini turut diketengahkan pertandingan lanskap-lanskap menarik milik 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh Kelantan, ujarnya.

Beliau berkata, pertandingan lanskap tahun ini bertema ‘Lanskap Identiti Bangsa’ bermotifkan seni bina zaman dahulu meliputi gambaran pada rumah, peralatan, halamannya melambangkan warisan Melayu lama.

Selain itu katanya diadakan pertandingan bunga khas, di mana jawatankuasa pertandingan memilih bunga kantan sebagai ikon untuk digubah peserta.

Antara proram yang cukup sinonim setiap tahun termasuk pertandingan gubahan bunga yang meliputi bunga ros, kaktus dan aerobatik.

“Selain itu diadakan juga pertandingan melukis pra-sekolah, memasak ikan air tawar dan memancing yang akan turut disertai Raja Perempuan Kelantan,” katanya.

Manakala pertandingan keindahan premis makanan dan penginapan juga diadakan melibatkan kategori hotel, tandas awam dan keindahan pejabat PBT.

Di Taman Orkid itu juga disediakan taman rama-rama dan taman bunga sebagai tarikan sampingan kepada pengunjung. – mj

Sumber: Harakahdaily.net

~ by mekkelate on April 1, 2008.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.